Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa yang digantung tugas sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dalam satu kenyataan, SPRM menjelaskan akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menyiasat beberapa isu melibatkan isu rasuah dan salah guna kuasa Annuar.

"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

"Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA," jelas kenyataan itu.

BACA: Penggantungan Mara: Saya akur dan akan bekerjasama dalam siasatan - Annuar Musa

BACA: Annuar digantung sementara kerana sedang disiasat - Ismail


Sebelum ini Annuar dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan penggantungannya sebagai pengerusi Mara dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) yang berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Annuar yang kini berada di New Zealand, berkata beliau tidak tahu menahu berkenaan mesyuarat khas Ahli Majlis MARA yang diadakan hari ini itu.

Dalam pada itu jelas SPRM, pihaknya turut meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut.

"Beri ruang kepada SPRM bagi menjalankan siasatan," jelas kenyataan itu.