Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menyerbu pejabat Felda Investment Corporation (FIC) di Kuala Lumpur, lapor portal berita The Star Online.

Beberapa anggota agensi itu kelihatan tiba di Balai Felda pada kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Serbuan tersebut dipercayai berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC antara tahun 2013 dan 2015.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad telah mengarahkan pasukan penyiasat untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel tersebut.

BACA: FIC beli hotel pada harga jauh lebih tinggi, SPRM buka kertas siasatan

Katanya, pasukan itu juga telah mengambil dokumen-dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan kini dalam proses menilai serta meneliti kesemua maklumat yang diperolehi.

Menurutnya, SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bagi tujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Pada Disember 2014, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengumumkan FIC telah membeli sebuah hotel 4 bintang di kawasan mewah Kensington bernilai 60 juta pound.

Park City Hotel, dengan 62 bilik tetamu dan dua unit servis apartmen tiga bilik tidur itu, kemudiannya dinamakan semula sebagai Grand Plaza Hotel.

Katanya, hotel yang baharu dimiliki FIC itu juga mampu menjadi aset pelengkap kepada hotel milik Felda di Bayswater, satu lagi kawasan tumpuan rakyat Malaysia di London.

FIC sebelum itu telah membeli Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater pada harga 98 juta pound.

FIC, cabang pelaburan Felda, telah ditubuhkan pada tahun 2013, dengan memberi tumpuan kepada sektor hartanah, hospitaliti serta gas dan minyak.