Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumah adik kepada presiden parti politik pembangkang di Sabah di sini petang ini.

Menurut sumber SPRM yang dihubungi Astro AWANI, serbuan itu dilakukan sepasukan lima pegawai SPRM kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, pegawai SPRM itu tiba bersama adik presiden parti politik pembangkang tersebut di rumahnya di Putatan, Sabah bagi mencari bahan bukti berhubung kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Pemeriksaan di rumah lelaki itu dilakukan hampir tiga jam dan berakhir sekitar jam 6 petang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum ini lelaki tersebut dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Sabah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad baru-baru ini mendedahkan pihaknya menyita lebih RM180 juta dalam akaun bank berhubung kes penyelewengan dana kementerian itu di Sabah.

Semalam, tiga ketua pemuda dari dua parti iaitu UMNO dan Parti Warisan Sabah (Warisan) ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

Penahanan itu susulan tangkapan pertama yang dilakukan SPRM pada 5 Oktober lalu ke atas seorang pemimpin kanan Parti Warisan bersama seorang lelaki dipercayai kontraktor serta Timbalan Setiausaha bahagian infrastruktur di kementerian berkenaan.

Hari ini, Majistret Cindy Mc Juce Balitus mengeluarkan perintah reman selama lima hari ke atas tiga ketua pemuda daripada dua parti politik bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Sabah.

Manakala, tempoh reman pemimpin kanan Parti Warisan dan seorang ahli perniagaan yang ditahan Khamis lalu berhubung kes sama disambung tiga dan empat hari.