Stok makanan halal dan sayuran bagi sembilan lagi rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara difahamkan semakin berkurangan dan hanya boleh bertahan untuk kurang dari seminggu sahaja.

Menurut sumber dari kenalan rakyat Malaysia di Korea Utara, semua yang terlibat juga dinasihat untuk tidak meninggalkan rumah dan berada dalam kawasan masing-masing atas dasar keselamatan.

"Stok makanan masih ada tetapi yang halal dan sayuran terlalu sedikit dan mampu bertahan kurang dari satu minggu. Bantuan dari komuniti diplomatik digunakan untuk membeli bahan makanan kerana semua dinasihatkan tidak keluar rumah selain pasar basah pula terletak di luar Pyongyang.

"Beberapa pegawai kedutaan lain di Pyongyang juga ada menghubungi mereka untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat kita di sana," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Saya tahu anak saya di Pyongyang dalam ketakutan - Ibu Iza

BACA:
TPM yakin Korea Utara akan bertindak rasional

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memberi jaminan untuk melakukan segala yang terdaya dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Tegasnya, fokus utama ialah memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Dua daripada 11 rakyat Malaysia yang ditahan daripada meninggalkan Korea Utara dilaporkan sudah dibenarkan meninggalkan negara berkenaan.

Menurut laman Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dua rakyat Malaysia itu adalah Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy.

Mereka merupakan dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertugas di bawah Program Makanan Sedunia (WFP).

Lim dan Muniandy dilaporkan bakal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira jam 10.20 malam ini dari Beijing.

Pada Khamis, Maznah Adnan, ibu kepada seorang daripada rakyat Malaysia di Korea Utara memberitahu anaknya berada dalam keadaan ketakutan biarpun difahamkan mereka sekeluarga selamat di sana.

Maznah merupakan ibu kepada Iza Karmila Ramli, iaitu isteri penasihat kedutaan di Kedutaan Malaysia di Pyongyang, Mohd Nor Azrin Md Zain yang masih berada di Korea Utara bersama tiga lagi anak mereka selepas tidak dibenarkan meninggalkan negara itu sejak 7 Mac lalu.

Tiga anak Iza Karmila dan Mohd Nor Azrin yang berasal dari Perlis adalah Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah serta Ayscha Zinnirah.

Sebelum ini Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wisma Putra memberi jaminan bahawa usaha membawa pulang 11 rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Korea Utara diberi keutamaan tertinggi oleh kerajaan.

Tegasnya, pihaknya sedang giat berusaha memastikan kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat.