Peraih getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tanpa kebenaran mahkamah boleh dikenakan tindakan dan pendakwaan di Mahkamah Syariah.

Menurut Ketua Pendakwa Raya Syarie Negeri Kelantan, Zaini Sulaiman, si suami juga boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara hingga enam bulan jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, untuk membubarkan pernikahan mereka, ianya bergantung kepada siasatan lanjut yang sedang dilakukan oleh pihak Jabatan Pendakwaan Syarie Kelantan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata lelaki itu melakukan dua kesalahan – berkahwin tanpa kebenaran mahkamah dan tidak mendapat kebenaran isteri untuk berpoligami.

"Setakat ini, kesalahan poligami tanpa kebenaran atau kahwin tanpa kebenaran kerana isterinya (kanak-kanak terbabit) warga negara Thailand dan berkahwin di Thailand. Tiada bidang kuasa boleh dikenakan. Yang boleh dikenakan terhadap lelaki menggunakan dua seksyen dan ketiganya adalah jika lambat buat pengesahan, kerana tempoh maksimum lapor perkahwinan adalah enam bulan dan jika lewat, ia jadi satu kesalahan,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui dipejabatnya hari ini.

Kata Zaini, lelaki terbabit juga boleh didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Zaini berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan ketua penguatkuasa membuka kertas siasatan semalam dan siasatan dijangka akan siap dalam tempoh seminggu sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil.

Jelasnya, tindakan undang-undang hanya boleh diambil terhadap lelaki terbabit sahaja memandangkan kanak-kanak perempuan itu warganegara Thailand.

"Perkahwinan dengan budak bawah umur juga perlu dilihat dalam pelbagai sudut sama ada dipaksa atau mempunyai alasan tertentu sebelum mahkamah pertimbangkan keputusan, namun had umur yang dibenarkan berkahwin ialah selepas usia 16 tahun," jelasnya lagi.

Sekiranya mana-mana pasangan yang ingin berkahwin bawah usia berkenaan, ianya memerlukan keputusan hakim Mahkamah Syariah.

Namun sekiranya alasan berkahwin kerana miskin atau terhutang budi, hakim biasanya tidak akan memberikan kebenaran memandangkan usia kanak-kanak perempuan terlalu muda dan mudah untuk bercerai.

Mengulas lanjut berhubung pihak kerajaan yang menggesa perkahwinan peraih getah dengan kanak-kanak bawah umur itu dibubarkan, Zaini berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi enggan mengulas lanjut berhubung perkahwinan kontroversi itu.

Katanya, beliau mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada keluarga mereka di Gua Musang, hari ini.

"Saya mahu berjumpa keluarga lelaki dan kanak-kanak itu dahulu sebelum dapat membuat ulasan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, perkahwinan antara seorang peraih getah berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun viral selepas isteri kedua lelaki tersebut memuat naik status di Facebook miliknya.

Perkahwinan itu mendapat perhatian kerana lelaki itu mengambil seorang kanak-kanak berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.

BACA: Kahwin bawah umur: Isu baligh antara kelemahan akta - Peguam

BACA: Kahwin budak bawah umur: Pasangan kontroversi sedia berdepan tindakan

BACA: Wali sepatutnya lindungi kanak-kanak 11 tahun - Mufti Perlis

BACA: Tiada unsur jenayah dalam perkahwinan budak 11 tahun di Gua Musang - Polis

BACA: Perkahwinan budak 11 tahun tidak sah - Dr Wan Azizah

BACA: 'Kami suka sama suka' - suami tidak akan cerai isteri bawah umur