Lembaga Tabung Haji (TH) akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang berkata keputusan itu dicapai selepas beberapa perbincangan bersama Lembaga Pengarah TH.

"Satu kata putus telah dimuktamadkan oleh Lembaga Pengarah TH iaitu, TH akan kekal menanggung kos berlebihan bagi jemaah haji muassasah kali pertama, termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini," katanya.

Menurutnya, keputusan Lembaga Pengarah TH itu dibuat hari ini selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019.

"Justeru, dengan pengumuman terbaharu ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta," kata Mujahid dalam satu kenyataan hari ini.


"Kita terpaksa menanggung tambahan RM100 juta lagi apabila kita meneruskan subsidi ini.

"Jika dulu saya umum RM305 juta, sekarang tanggungan untuk musim haji tahun ini, yang diserap TH, kerana jemaah hanya bayar RM9,980, selebihnya ditanggung oleh TH, dan ia menelan belanja RM400 juta.

“Unjuran kewangan 2019 memberi ruang kepada TH menyerap keseluruhan tanggungan subsidi kepada jemaah haji tahun ini,” jelasnya.

BACA: Rayuan haji belum dimuktamad - Tabung Haji

BACA: Mujahid nafi subsidi kepada bakal haji rayuan dihapuskan

BACA: Timbang semula dasar baharu subsidi rayuan haji kali pertama


Mujahid berkata sebelum ini pelbagai dakwaan mengelirukan timbul terutama berhubung isu kos yang perlu ditanggung jemaah yang membuat rayuan haji, meskipun pada masa itu iabelum dimuktamadkan.

“Sedangkan, saya sentiasa dalam rundingan dengan pihak TH bagi memastikan kebajikan mereka yang melakukan ibadah haji dapat disempurnakan mengikut status kewangan dan keadaan TH yang hari ini sedang melalui proses pemulihan," katanya.

Dengan keputusan hari ini bermakna, tidak timbul lagi spekulasi mengatakan jemaah yang mengerjakan haji kali pertama tetapi dalam kategori rayuan tidak akan menerima subsidi.

"Orang yang merayu, dalam kategori mahram, kategori mengiring, umur yang sudah lanjut, orang kurang upaya (OKU), mualaf, begitu juga yang tidak ada kesemua itu tetapi hendak rayu.

"Kesemua mereka, mengikut keputusan yang telah dimuktamadkan, akan terus mendapat subsidi, yang ditanggung TH,” tambahnya.


Pada 14 Feb lepas, Mujahid mengumumkan bayaran untuk menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos keseluruhan sebenar menunaikan haji tahun ini ialah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu.