Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membidas kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung tiadanya pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli di negeri itu.

Malah, Suhakam juga menyifatkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak itu tidak wajar, menyinggung dan tidak menghormati Orang Asli.

Jelas kenyataan itu, hak Orang Asli adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 dan juga Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP) yang disokong oleh Malaysia pada 2007.

“Hak Tanah Adat dilindungi di bawah Kanun Tanah Negara setiap negeri berdasarkan penggazetan, namun demikian, penggazetan ini tidak menyeluruh dan banyak kawasan yang masih belum diiktiraf sebagai tanah adat Orang Asli.

“Pengiktirafan Tanah Adat mestilah berdasarkan pada pendudukan tradisional selama beberapa generasi sebelum konsep moden geran tanah dan amalan kebudayaan seperti kawasan rayau tanah seperti yang dinyatakan dalam kes-kes penting seperti Adong bin Kuwau & Ors v Kerajaan Negeri Johor & Anor 1998 dan Sagong bin Tasi &. Ors v Kerajaan Negeri Selangor 2002,” jelas kenyataan media itu pada Khamis.

Kenyataan media yang dikeluarkan SUHAKAM pada 1 Ogos 2019

Tambah Suhakam, ketiadaan pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri, pihak berkuasa dan syarikat swasta akan mempengaruhi secara langsung kepada peningkatan pengambilan tanah secara haram dan pencerobohan Tanah Adat Orang Asli.

“Sikap tidak ambil peduli terhadap Orang Asli terutamanya oleh mereka yang mempunyai kuasa bukan merupakan perkara baharu," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, Suhakam kesal dengan pencabulan berterusan hak Orang Asli oleh sektor awam dan swasta yang dibenarkan berlaku oleh kerajaan.

Katanya, ia sekali gus menggambarkan tindakan tidak bertimbang rasa untuk menafikan hak mereka terhadap mata pencarian dan pergerakan mereka.

BACA: Ikut undang-undang negeri, tiada istilah 'tanah adat' di Perak - MB

Selain itu, Suhakam juga ingin mengingatkan kerajaan akan komitmennya di bawah Janji 38 Manifesto Pakatan Harapan untuk memperjuangkan kepentingan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Ia termasuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada Inkuiri Nasional Suhakam, memastikan agar hak tanah Orang Asli dilindungi dengan lebih baik dan menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti secara tepat sempadan tanah adat.

Pada 29 Julai lalu, kenyataan Menteri Besar Perak mencetuskan perdebatan kerana menurutnya, tiada kawasan di negeri itu yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk masyarakat Orang Asli. Tambahnya, ketiadaan tanah adat untuk Orang Asli di Perak termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.