Seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) didakwa di Mahkamah Majistret Klang di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia 4 tahun akibat penderaan September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Sazry Mohd Taha, 36, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad' Azzam Zainal Abidin.

Mohd Sazry didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zahira Sofea Ahmad Muizz, 4, di Lot 590 Lorong Yunus Kampung Sungai Udang, Klang antara jam 1 tengah hari pada 28 September hingga 29 September.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Sepasang suami isteri ditahan dera anak asuhan sehingga mati

Pada masa sama, isteri tertuduh yang juga penjaga kanak-kanak itu turut hadir di mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Faiz Abd Raoff.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang berada bawah jagaan mereka.