Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama kerabat baginda mengurniakan peralatan perubatan bernilai lebih RM300,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebagai sebahagian usaha baginda membantu memerangi wabak COVID-19.

Kurniaan barangan perubatan yang merupakan antara peralatan penting yang digunakan hospital berkenaan untuk merawat pesakit COVID-19 itu adalah kurniaan peribadi baginda sendiri bersama kerabat baginda.

Antara kelengkapan yang dikurniakan termasuk lima unit Infusion Pump; 20 unit Mechanical Bed; (5) Electrical Bed; (5) Mindray SP5; (10) Mindray VP5 (1) Medical Emergency Cart; (1) Defibrillator; (1) Mindray beneHeart R3A ECG 3CH; (1) Mindray VS600 dan (1) Biological Isolation Chamber.

Kurniaan berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim bagi mewakili Sultan Kedah.

BACA: COVID-19: Malaysia catatkan 23 kes kematian, 235 kes positif baharu

Sementara itu baginda bertitah supaya rakyat baginda mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha memerangi COVID-19.

"Memasuki hari ke-9 Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia, rakyat diseru untuk mematuhi arahan tersebut dan diharapkan tiada sebarang aktiviti sosial atau berkumpul di luar rumah dilakukan sepanjang tempoh tersebut.

"Inilah masanya untuk kita menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan masing masing bagi membendung jangkitan wabak ini," titah Sultan Sallehuddin.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan rakyat supaya mengelak daripada menyebarkan berita palsu berkenaan COVID-19 dan tidak melakukan pembelian panik.