Sekalipun kehilangan Muhammad Eilham Hasmadi dalam kejadian banjir, namun, Siti Fairuz Che Mood bersyukur kerana jasad anaknya ditemui.

Bagi wanita berusia 34 tahun itu, usaha pihak berkuasa menemukan jasad anak kesayangannya itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana doanya dimakbulkan.

Mayat Muhammad Eilham, 7, yang lemas selepas terjatuh dalam tali air ketika mengikut bapa saudaranya memasang pukat di FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh, ditemui pada jam 8 pagi tadi pada jarak 400 meter (m) dari lokasi dia terjatuh.

Menurut Siti Fairuz, meskipun sedih atas kehilangan anaknya itu, namun dia dan seluruh ahli keluarga reda dan menerima ketentuan Tuhan.

"Sepanjang misi pencarian dijalankan, saya dan suami tidak putus berdoa selain menunaikan solat hajat agar anak kami segera ditemui dan Alhamdulillah ianya dikabulkan.

"Saya reda dengan takdir ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anak kami terutamanya pasukan penyelamat yang bertungkus lumus," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.

Katanya, ini bukan pertama kali anak bongsu daripada tiga beradik itu pergi memukat ikan bersama bapa saudaranya, Supian Mohd Ali, 32, namun insiden yang berlaku petang semalam adalah di luar jangkaan.

"Sebelum Muhammad Eilham keluar dari rumah dan pergi ke tali air kira-kira jam 6 petang semalam, dia sempat berbual dengan saya dan bertanyakan soalan yang agak pelik kepada ayahnya (Hasmadi Mohd Ali,41) dalam keadaan berseloroh.

"Bagaimanapun, saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa yang pelik sehinggalah dimaklumkan Muhammad Eilham terjatuh dalam tali air dan dikhuatiri lemas," katanya yang menyifatkan arwah anaknya itu seorang yang hiperaktif.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seligi, Pasir Puteh selepas selesai urusan bedah siasat.

BACA: Kanak-kanak mangsa pertama banjir di Pasir Puteh ditemui maut