Seorang tahanan lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata anggota pengawal lokap lelaki di IPD itu mendapati mangsa Soh Kai Chiok, 49, tidak sedarkan diri dan meninggal dunia pada 12.15 pagi.

Bagaimanapun, Mansor berkata siasatan awal mendapati kematian lelaki itu tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti pergaduhan sepanjang berada dalam lokap tersebut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mansor berkata lelaki yang mempunyai lima rekod lampau di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu ditahan polis kerana disyaki mencuri pisang dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Mangsa ini ditangkap pemilik kebun pisang itu bersama empat pekerjanya dan diserahkan kepada polis. Semasa pihak polis menerima mangsa didapati ia telah mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri, kaki kiri dan juga pada bahagian muka.

"Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Triang dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

"Semua prosedur lokap dipatuhi dalam menentukan mangsa diberikan rawatan, makan ubat, makan dan minum serta tidur mengikut masa," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke HOSHAS untuk bedah siasat. -- Bernama