Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bakal menyambut ketibaan lebih 16,000 delegasi selaku tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking menegaskan, bukan sahaja Malaysia menjadi tuan rumah pada 2020, malah Dr Mahathir juga akan berada di tempat yang sama tahun depan selepas kejayaan penganjurannya pada 1998.

Berucap di hadapan 21 perwakilan ekonomi APEC di sini hari ini, Leiking berkata, pelancaran yang berlangsung di Cyberview Resort and Spa itu juga memahat sejarahnya tersendiri.

“Dianggarkan, 16,000 delegasi akan hadir melibatkan 120 mesyuarat di lima bandar seluruh Malaysia yang dijadual sepanjang 2020.

“Lokasi ini mempunyai sejarah yang cukup signifikan kerana menjadi lokasi Mesyuarat Pemimpin APEC pada 1998 yang dihoskan Perdana Menteri ketika ini.

“Tahun hadapan, Perdana Menteri sama akan menjadi tuan rumah kepada APEC 2020,” katanya ketika membuat ucapan aluan.

Ujarnya, tiga tonggak utama kepada penganjuran APEC 2020 adalah hospitaliti, substan dan inklusif selain tiga bidang keberhasilan utama.

“Menerusi tema ‘Mengoptimum Potensi Manusia menuju Masa Hadapan Kemakmuran Bersama’, APEC 2020 akan memacu agenda APEC 2020 menerusi tiga bidang keberhasilan utama.

“Menambahbaik hala tuju perdagangan dan pelaburan, penglibatan ekonomi inklusif menerusi ekonomi digital dan teknologi serta memacu inovasi mapan,” jelasnya.

BACA: Kemakmuran Bersama jadi teras #MyAPEC2020

Tambahnya, segala usaha dalam menjayakan APEC 2020 adalah seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, iaitu memastikan kemakmuran dirasai setiap lapisan rakyat.

Beliau yakin APEC merupakan platform dalam menjayakan misi tersebut.