Polis sudah mengenal pasti identiti kesemua mangsa warga Myanmar yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Lost Paradise Hotel, Jalan Batu Ferringhi, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, mereka ialah Mg Seng Pya dan Mg Htwe, masing-masing berusia 38 tahun, dan Nai Cho Inn dan Aung Tun Aye, masing-masing berusia 49 tahun.

Katanya, mayat mangsa akan diserahkan kepada Kedutaan Myanmar bagi urusan membawa pulang ke negara berkenaan.

BACA: Tanah runtuh: 4 pekerja Myanmar dikhuatiri maut tertimbus

Kesemua mangsa membuat kerja sambilan di resort berkenaan sejak seminggu sebelum kejadian, bagi melakukan kerja-kerja pemasangan dinding penahan di kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 malam pada Selasa, empat pekerja asing warga Myanmar maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Feringghi.

BACA: Tanah runtuh Tanjung Bungah: Mayat keempat ditemui, operasi SAR ditamatkan

Kesemua mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas tertimbus hampir enam jam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan kira kira jam 4 pagi Rabu.