Wujud pergerakan tanah setiap sejam di sekitar kawasan Taman Idaman mengakibatkan usaha membaikpulih dan pemeriksaan kawasan terjejas tergendala.

Tinjauan Astro AWANI mendapati wujud beberapa rekahan baru dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian berlaku dan meningkatkan kebimbangan wujud lebih banyak runtuhan tanah.

Sementara itu, kesemua 340 penghuni dari 64 keluarga di sini telah berpindah ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah sekitar jam 2 petang tadi setelah polis memberi jaminan akan keselamatan harta benda mereka, jelas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan, Supramaniam Ramasamy.

Terdahulu, penduduk di 24 rumah berpindah pada jam 10 pagi setelah berlaku tanah runtuh berhampiran kediaman mereka yang telah memusnahkan tujuh unit rumah kedai dan turut menyebabkan kerosakan beberapa buah kenderaan penduduk.

BACA: 1 cedera dalam insiden tanah runtuh Serendah

Sementara itu, satu jawatankuasa kerja bagi menguruskan insiden tanah runtuh ini akan ditubuh membabitkan beberapa agensi seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, Leftenan Kolenel Khairil Izzwan Abd Rahman memberitahu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengenal pasti lokasi bagi membina dua laluan lencongan untuk memudahkan pergerakan lebih 1,000 penduduk di Taman Melur, Taman Anggerik dan Perkampungan Orang Asli Serendah yang kini terputus laluan ke jalan utama.

BACA: Tanah runtuh Serendah: Mengerikan, gerai dan kereta ditarik ke runtuhan seluas padang bola

Dalam perkembangan sama, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Zaidi Abdul Talib memaklumkan tumpuan pihaknya kini untuk bagi mengenal pasti pergerakan tanah di kawasan insiden.

Tambahnya, pihaknya juga sedang melaksanakan draf peruntukan untuk memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa terjejas.

BACA: Taman Idaman, Serendah diisytihar zon merah - polis

Setakat ini, sejumlah 22 dari 64 keluarga belum melaporkan diri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, menurut Ramasamy.

Beliau turut berkata pihak berkuasa akan mengambil selama 3 ke 4 hari untuk menyiapkan laporan kejadian tanah runtuh. Proses membaikpulih jalan raya akan mengambil masa seminggu ke 10 hari.

Sidang media akan diadakan pada 12 tengahari Ahad di pusat pengurusan operasi.