Usaha operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi (OPS TH7) yang masuk hari ke-51 ini akan lebih memfokuskan kawasan tebing dan celahan batu-batu besar Sungai Perias, Pos Tohoi di sini.

Menurut sumber polis, kira-kira 150 anggota telah dikerahkan untuk mencari seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang.

Misi yang disertai oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negera, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) serta agensi-agensi lain ini akan melalukan pencarian di Sungai Perias yang panjangnya kira 47 kilometer.

Sementara itu, beberapa ahli keluarga termasuk kanak-kanak Orang Asli yang hilang dan ditemui hidup baru-baru ini dimaklumkan akan pulang ke kampung halaman mereka di Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Turut pulang ialah keluarga kepada Sasa Sobrie, yang sebelum ini mayatnya ditemui di Sungai Perias pada 7 Okt yang lalu iaitu kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi.

Jarak di antara Kampung Penad dan Gua Musang adalah sejauh 75km manakala Kampung Gawin pula terletak 85km dari Gua Musang.

Perjalanan ke kedua-dua kampung ini mengambil masa kira-kira empat jam memandangkan laluannya yang berbukit dan hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

KRONOLOGI: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dari SK Tohoi, bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10; dan Miksudiar Aluj, 11 - kesemuanya berasal dari Kampung Gawin dan Penad.