NATIONAL
Kronologi: Misteri 7 pelajar Orang Asli hilang di Pos Tohoi, Gua Musang

Tujuh murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Gua Musang,dilaporkan hilang pada 23 Ogos. - Foto Bernama
Misteri dan teka teki nasib tujuh pelajar Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi, Gua Musang sedikit terjawab, 46 hari selepas mereka dilaporkan tidak pulang ke asrama Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi.
Selepas penemuan mayat Sasa Sobrie dalam keadaan reput di Sungai Perias, 500 meter dari Pos Tohoi pada petang Rabu, sedikit berita gembira diterima Jumaat.
Dua kanak-kanak dijumpai selamat oleh pasukan pencari. Mereka adalah Norieen Yaakob, 10 dan Miksudiari Aluj, 11.
Berikut kronologi peristiwa-peristiwa yang diketahui setakat ini, berkait kehilangan tujuh pelajar tersebut.
12 Okt 2015:
Usaha operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi (OPS TH7) yang masuk hari ke-51 ini akan lebih memfokuskan kawasan tebing dan celahan batu-batu besar Sungai Perias, Pos Tohoi
11 Okt 2015:
Anggota keluarga Juvina David, 7, mengecam bahawa rangka yang ditemui di Sungai Perias, Pos Tohoi semalam adalah milik kanak-kanak itu.
10 Okt 2015:
Rangka manusia yang dipercayai milik kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi ditemui dalam keadaan sempurna oleh pasukan mencari dan menyelamat berhampiran tebing Sungai Perias pada jam 11.20 pagi, Sabtu.
Mereka adalah Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiari Aluj, 11.
MESTI BACA: ''Saya mimpi ada orang tua datang cakap, ini bukan anak awak, ini orang lain." - Ibu kepada Norieen Yaakob
Turut ditemui satu lagi mayat manusia yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
Penemuan ini menjadikan pencarian sehingga tengah hari ini berbaki empat orang iaitu Juvina David, Linda Rosli, Ika Ayel, dan Haikal Yaakob.
8 Okt 2015:
Ibu bapa 7 pelajar itu berkumpul di hospital Gua Musang untuk proses pengecaman.
Polis kemudiannya mengesahkan identiti mayat yang ditemui dalam keadaan reput sebagai Sasa Sobrie.
Sementara itu, polis mengesahkan penemuan satu tengkorak dan rangka kanak-kanak pada pukul 3.50 petang. Walau bagaimanapun identiti mayat masih belum dikenal pasti.
Ia kemudiannya dibawa keluar untuk dibedah siasat di Hospital Gua Musang.
1 Okt 2015:
Genap 40 hari kanak-kanak berkenaan hilang, kerajaan melalui Timbalan Menteri II Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan tiada tarikh tamat bagi usaha mencari mereka semua.
28 Sept 2015:
37 hari selepas kanak-kanak itu hilang, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menemui keluarga tujuh pelajar itu berkata elemen culik turut sama diambil kira.
Operasi melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM), RELA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) selain penduduk kampung dan ibu bapa tujuh murid berkenaan.
1 Sept 2015:
Polis mendedahkan sepasang stokin ditemui sekali gus percaya ia menjadi petunjuk terbaharu siasatan kes misteri kehilangan tujuh murid Orang Asli itu.
Bagaimanapun, ia kemudiannya disahkan bukan milik mana-mana kanak-kanak berkenaan.
25 Ogos 2015:
Selepas laporan polis dibuat mengenai kehilangan mereka, gerakan mencari digembleng membabitkan pihak polis, penduduk kampung dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami