Semua pihak berhak menyatakan pandangan mereka berhubung sistem pendidikan negara, bagaimanapun, tanggungjawab terletak di bahu kerajaan untuk membuat keputusan yang difikirkan terbaik.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) meraikan hak semua pihak untuk bersuara.

"Itu pandangan mereka. Tetapi mereka bukan komponen kerajaan," katanya merujuk kepada gesaan dibuat Muslimat Pas supaya sistem pendidikan vernakular dihentikan.

"Pendidikan ialah di bawah tanggungjawab kerajaan pusat," tegas Maszlee, ketika diminta mengulas kenyataan Salamiah Md Nor, wakil sayap parti Pas itu, pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Kuantan pada Sabtu.

BACA: Tiada perbincangan hapus sekolah vernakular - TPM

Maszlee berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan STEM Peringkat Kebangsaan di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, hari ini.

Katanya, Malaysia kini berada pada era demokrasi dan setiap pihak berhak membuat kenyataan serta perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan itu.

"Ini membuktikan Malaysia baharu ini meraikan semua pihak untuk bersuara dan menyatakan pandangan.

"Namun, aspek pendidikan di negara ini terletak sepenuhnya di bawah kerajaan pusat yang diterajui PH," katanya.



BACA: Sekolah vernakular beri nilai tambah dalam diri pelajar - Exco Perak

Salamiah mendakwa sistem vernakular tidak menyumbang kepada perpaduan kaum dan menyifatkan Maszlee sebagai tidak melihat sistem pendidikan negara secara lebih jauh.

Bagaimanapun, pada muktamar sama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali menyarankan supara parti itu mencontohi kejayaan yang dicipta sekolah vernakular di negara ini, supaya menjadi lebih baik.

Katanya, kaum minoriti Malaysia wajar diberi penghargaan kerana gigih memperjuangkan sistem sekolah vernakular sehingga turut menarik minat orang Melayu dan Islam untuk menghantar anak mereka ke pusat pendidikan itu.