Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua rakyat di negeri ini atas sokongan serta dokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri, barisan exco kerajaan negeri dan wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) Perak turut memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kelemahan sepanjang pentadbirannya.

“Kami berdiri di sini bukan atas keangkuhan tetapi kami berdiri atas sifat rendah diri bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tentunya ada kelebihan dan ada kelemahan serta kekurangan, oleh yang demikian, saya mewakili rakan-rakan dengan rendah hati memohon ampun dan maaf atas kekurangan yang dilakukan.

“Saya juga manusia biasa mungkin tidak terlepas dari kekurangan itu. Kami berjanji akan kita betulkan segala kelemahan-kelemahan bagi memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas selepas istiadat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 yang disempurnakan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Isnin.

Ditanya jika beliau berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi Perak sepanjang di bawah pentadbirannya, beliau memberitahu, ia merupakan perkara yang relatif.

“Ia satu perkara yang relatif, mungkin hari ini kita capai satu perkara yang terbaik, kemudian esoknya kita rasa perlu lengkapkan lagi pencapaian berkenaan, maka saya tidak boleh khususkan jika saya berpuas hati atau tidak dalam sesuatu pencapaian itu.

BACA: Sultan Nazrin titah bubar pun perlu ada istiadat, sama seperti tubuhkan kerajaan - Annuar Zaini

“Berpuas hati atau tidak, biar rakyat buat penilaian secara rasional bagaimana kita bangunkan Perak daripada keadaan dulu sehingga masa kini."

Pengerusi BN Perak itu juga memberitahu, pihaknya akan melancarkan manifesto BN peringkat negeri dalam tempoh terdekat.

“Manifesto kita tidak akan tersimpang daripada apa yang digagaskan di peringkat pusat tapi dalam masa sama kita akan berikan manifesto berkaitan dalam konteks negeri Perak mencakupi semua perkara.

“Ia termasuk berkaitan kebajikan rakyat, hal-hal pertumbuhan ekonomi negeri dan sebagainya demi anjakan masa depan negeri ini, kita akan lancarkannya pada satu masa yang sesuai tidak lama lagi,”

Mengenai senarai calon-calon BN pula, Zambry memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak di ibu negara pada esok bagi membuat persiapan akhir.

“Calon-calon telah dikenal pasti dan saya akan mengadakan perbincangan peringkat akhir dengan pengerusi (Najib). Keputusannya telah ada, cuma perlukan perincian tertentu di peringkat pusat sebelum ia dimuktamadkan,” ulas beliau.