Sambutan Thaipusam berlangsung hari ini ketika rakyat negara ini dilanda kebimbangan jangkitan koronavirus.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, puluhan ribu penganut agama Hindu serta pelancong mengunjungi Kuil Sri Subramaniam Swammy di Batu Caves, sejak awal pagi lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan perubatan dan anggota polis bersiap sedia di sekitar kawasan kuil, malah turut mengambil pendekatan pencegahan dengan memakai topeng mulut.

Jumlah kehadiran bagaimanapun dilihat sedikit menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini.

BACA: Thaipusam: Kebimbangan koronavirus, petugas perubatan siap sedia

Namun begitu, pemerhatian Astro AWANI mendapati tidak ramai dalam kalangan pengunjung yang mengenakan topeng mulut.

"Mungkin juga kerana kebanyakan kedai sudah kehabisan topeng mulut," kata salah seorang pengunjung yang sempat ditemui.

Seorang lagi berpendapat, amalan kebersihan lebih penting berbanding pemakaian topeng mulut.

"Kalau pakai topeng tapi tak jaga kebersihan, tak guna," katanya yang enggan dinamakan.

Kuil itu dijangka menerima kunjungan lebih 15,000 penganut agama Hindu sepanjang hari ini dan esok.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menasihatkan pengunjung agar mengutamakan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau 'hand sanitizer' serta memakai penutup mulut dan hidung.