Tiada sebarang penyelewengan yang berlaku melibatkan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam kegiatan mengumpul sumbangan dan bantuan ke Palestin.

Penolong Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), ‘Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, NGO yang didakwa terlibat telah menafikan menyeleweng dana untuk Masjid Al-Aqsa.

"Isu berkenaan dakwaan dana Palestin yang tidak diterima pihak Masjid Al-Aqsa, oleh Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali, telah mendapat perhatian ramai pihak.

"NGO yang sememangnya giat dalam aktiviti mengumpul sumbangan dan menghantar bantuan-bantuan ke Palestin, juga telah tampil dengan kenyataan mengatakan mereka tidak menyeleweng dana untuk Masjid Al-Aqsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, MBM menggesa agar platform dialog disuburkan di antara NGO dan kedutaan Palestin di Malaysia demi membela hak-hak demokrasi dan kebajikan kedua-dua pihak, iaitu NGO dan autoriti.

"Hal ini mustahak dan wajar disegerakan demi mengelakkan hubungan yang melebam dan akhirnya menjejaskan akses bantuan kepada rakyat di Palestin.

"Antara cadangan awal yang perlu diperbaiki dalam aspek terma dan syarat bantuan yang dihantar oleh NGO serta rekod dan dokumentasi yang lebih telus.

"Hal ini juga tertakluk kepada pihak autoriti yang memberikan ruang sepadan kepada kumpulan NGO serta tidak merumitkan dengan isu birokrasi sumbangan yang disalurkan," kata 'Atiqah.

BACA: Bantuan kepada Masjid al-Aqsa sampai tetapi...

Pada Rabu, Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, bantuan dan dana untuk rakyat Palestin disalurkan tanpa melalui pihak kedutaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Walid pada Selasa, yang mendakwa sumbangan rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang mentadbir urus masjid itu.

Sehubungan itu, ‘Atiqah berkata, MBM yakin kedua-dua pihak mempunyai intipati asas dalam mengeluarkan pendapat dan komen, namun harus wujud satu laras kefahaman antara keduanya.