Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kenyataan yang dibuat Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menyatakan bahawa terdapat banyak pihak mempertikaikan kemalangan yang berlaku pada 2 Mei 2015 sehingga menyebabkan tiga kematian di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Ketua Trafik Pasukan PDRM Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan bagaimana kemalangan tersebut berlaku.

"Rata-rata di dalam media sosial, isu yang dipertikaikan adalah kegiatan kereta berlumba dengan kelajuan yang tinggi sehingga menyebabkan kemalangan maut," katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

WAWANCARA KHAS: Saksi terawal ceritakan detik cemas kemalangan DUKE

MEDIA SOSIAL: Netizen luah rasa berang

Mohd Fuad berkata pihak Cawangan Trafik PDRM telah mengenal pasti beberapa individu terlibat yang menyebabkan berlakunya kemalangan di antara dua buah kereta MyVI dengan kereta Pajero sports di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) Sabtu lepas.

"Siasatan terhadap kes tersebut hampir 90 peratus berjaya disiapkan," katanya lagi.

FAMILIA MYVI CLUB: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC

Beliau juga menegaskan penglibatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam siasatan polis tidak diperlukan kerana peranan badan itu adalah hanya untuk menjalankan penyelidikan dalam aspek keselamatan jalan raya.

"Adalah diharapkan agar pihak-pihak berkenaan untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjana spekulasi negatif sehingga membangkitkan ketidakpuasan hati masyarakat terhadap PDRM," katanya.

LUAHAN RASA: "Tangkap orang yang langgar ayah saya", luah Nur Firuza Amira kepada Zahid

TEGAS: Ini soal nyawa, 'orang dalam' pun akan diambil tindakan - Zahid Hamidi

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi Sabtu lalu, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik.

Mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga terbalik Pajero Sport yang dinaiki mangsa.

Bagaimanapun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak polis.