Tutup

Tiada usaha bersungguh-sungguh capai Wawasan 2020 - Tun Mahathir

Tiada usaha bersungguh-sungguh capai Wawasan 2020 - Tun Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan terdahulu tidak bersungguh-sungguh berusaha mencapai matlamat Wawasan 2020.

Jelasnya, strategi dan polisi yang salah menyebabkan usaha negara untuk menjadi negara maju melalui visi berkenaan belum tercapai.

Sebaliknya, kerajaan sebelum ini dilihat lebih menjurus ke arah memberikan wang kepada rakyat berbanding mewujudkan inisiatif supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan.

“Wawasan 2020 bertujuan menjadikan negara kita negara maju. Namun, 15 tahun yang kebelakang ini, tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.
“Sebaliknya, tumpuan adalah untuk memberi pendapatan yang tinggi dengan cara begitu sahaja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan
Tumpuan kerajaan sebelum ini dengan memberi wang menyebabkan sesetengah kumpulan anggota masyarakat terus dilanda kemiskinan kerana terlalu bergantung kepada bantuan.

“Memberi wang dan gaji yang tinggi, BR1M dan sebagainya supaya mereka dapat sesuatu bukan hasil usaha mereka, tetapi hasil pemberian kerajaan.

"Apabila kerajaan memberhentikan atau tidak ada wang untuk memberikan bantuan seperti ini, mereka akan terus miskin,” ujarnya.

Justeru katanya, KBW 2030 diharap akan dapat memberikan peluang memperbaiki kehidupan dan kemakmuran rakyat.

BACA: WKB 2030 tidak pinggir Bumiputera - Dr Mahathir

Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak dapat memberi jaminan bahawa kesinambungan dari Wawasan 2020 ini akan mencapai matlamatnya.

Ia berikutan kejayaan sesebuah pelan baharu bergantung kepada rakyat terutama golongan sasaran.

“Mereka yang berkenaan perlu menerima cabaran yang diberikan kepada mereka. Ia bukan sekadar polisi untuk mengatakan ia berjaya. Orang berkenaan juga perlu respons kepada jalan penyelesaiannya.

“Kita tidak boleh memberi jaminan kerana ia bergantung kepada kita. Ia bergantung kepada orang yang menjadi kumpulan sasaran,” kata beliau.

BACA: Kerajaan bercadang perkenal cukai baharu

Namun katanya, melalui WKB 2030 juga kerajaan akan memastikan mereka yang rasuah disingkirkan daripada mendapat peluang dan bantuan.

“Saya faham bahawa pelan terdahulu banyak berlaku rasuah. Ada yang memberi kontrak dan lesen kepada rakan. Malah, individu berkenaan tidak berjaya melaksanakannya dan ia menyebabkan pelan gagal.

“Namun kali ini, jika kamu rasuah, kerajaan akan ambil (kontrak dan lesen) dari kamu,” ujarnya.