Asteroid bakal menghentam Bumi pada 1 Februari 2019? Tidak benar!

Demikian tegas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini.

"MESTECC melalui ANGKASA telah menerima pertanyaan dan reaksi orang ramai terhadap laporan berkaitan asteroid bakal menghentam Bumi pada 1 Februari 2019.

"ANGKASA ingin menegaskan bahawa berita tersebut adalah tidak benar," katanya.

Oleh itu, ANGKASA menasihatkan orang ramai agar tidak gusar atau bimbang berkaitan perkara tersebut.

Pada Rabu, memetik portal Daily Star, pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) dilaporkan mengumumkan bahawa asteroid gergasi yang dinamakan 2002NT7 dipercayai bakal memasuki atmosfera Bumi.

Mengikut perkiraan NASA, asteroid itu dijangka menghentam bumi pada 1 Februari tetapi ramalan itu bagaimanapun ditarik balik serta-merta.

ANGKASA berkata, asteroid yang diberi gelaran 2002NT7 itu telah dijumpai NASA pada 2002.

"NASA telah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid terbabit akan menghentam Bumi pada 1 Februari 2019 dengan kebarangkalian kurang dari 1 peratus.

"Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid tersebut menghentam Bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil," katanya.

Hasil semakan dan penelitian ANGKASA, pihaknya mengesahkan asteroid tersebut tidak akan menghentam Bumi pada 1 Februari 2019 seperti dilaporkan.

ANGKASA oleh itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan berita yang tular dan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat.