Saksi kelapan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, memberitahu mahkamah tinggi bahawa tidak ramai kakitangan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) sedar bahawa Jho Low merupakan penasihat tidak rasmi kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika sesi soal balas, Amhari memberitahu peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Jho Low menjadi penasihat tidak rasmi Najib tanpa lantikan rasmi atau ‘secara sulit’.

Shafee bertanya apa yang Amhari maksudkan dengan frasa ‘secara sulit ‘dalam Perenggan 23 keterangan saksinya berkenaan Jho Low menjadi penasihat tidak rasmi kepada Najib di belakang tabir dan tidak diketahui ramai.

"Tidak ramai di PMO tahu. Pegawai kanan seperti Azlin dan beberapa yang lain mungkin tahu bahawa Jho Low telah berbincang dengan Najib.

“Tetapi ramai di PMO tidak tahu," kata Amhari.

BACA: Jho Low rapat dengan Najib dan Rosmah, sering hadir majlis eksklusif

Sebelum itu Amhari berkata bekas perdana menteri itu tidak pernah mengeluarkan arahan yang tidak wajar kepadanya.

Shafee: Saya katakan kepada kamu bahawa tidak pernah ada peristiwa yang Najib berikan arahan kepada kamu yang tidak sesuai?

Amhari: Saya akan jawab cara saya. Saya tidak perhatikan ada arahan salah yang diberikan kepada saya. Saya tidak boleh katakan bagi pihak orang lain.

Hari ini merupakan hari keenam perbicaraan kes 1MDB melbatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal yang mengubah lanskap politik negara itu dibicarakan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam bela,Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.