Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong selama lima hari ditamatkan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar memaklumkan operasi SAR ditamatkan secara rasminya pada jam 6 petang tadi selepas Unit K9 yang membuat pemeriksaan akhir mengesahkan tiada penemuan mayat yang dikenali sebagai Mat Rahaz sebagaimana yang dilaporkan tertimbus sebelum ini.

"Saya dengan ini mengesahkan operasi mencari mangsa di kejadian tanah runtuh Bukit Kukus telah pun ditamatkan.

"Jadi, ini adalah hasil daripada pencarian yang telah kami buat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan memang tidak ada lagi mangsa yang ditemui di tempat kejadian," katanya.

Pasukannya telah mengalihkan 100 peratus timbunan tanah runtuh di tiga sektor pencarian dikawasan berkeluasan 100,000 kaki persegi itu.

BACA: Tragedi Bukit Kukus: Mangsa ke-9 ditemui

Operasi melibatkan 200 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi SAR selama lima hari berjaya menemukan sembilan mayat terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Myanmar.

Manakala empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang lagi wanita Kemboja.