"Tunggu Mama di syurga."

Zarina Yong, 46, ibu kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan ngeri di Lenggong, Perak semalam, redha dengan pemergian anak-anak kesayangannya.

Naluri ibunya kuat memberitahu bahawa ketiga-tiga anaknya telah pergi meninggalkannya ketika dia tidak sedarkan diri di hospital akibat cedera dalam insiden berkenaan.

Zarina berkata, dia dikunjungi bayangan mereka dalam mimpi.

"Mereka datang, tersenyum dan melambai kepada saya, sebelum pergi dari mimpi saya. Waktu itu, saya tahu mereka telah tiada.

"Saya redha, saya cukup redha. Saya tahu kesemua anak saya akan menjadi ahli syurga, dan saya sempat berpesan kepada mereka untuk tunggu saya di syurga, bila tiba masa saya nanti," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Hospital Taiping.

BACA: "Lori 'sapu' semua kereta, mayat kanak-kanak bergelimpangan" - Saksi

Kembar Muhd Hanif (depan, kanan) dan Nur Ain Hanifah (depan, kiri) bersama kakak mereka Nur Ain Hafizah merupakan tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lenggong pagi Ahad. - Gambar ihsan
Begitu kuat firasat seorang ibu, Zarina mengakui ada di antara keluarganya yang cuba menjaga hati daripada memberitahu mengenai pemergian anak-anaknya yang hilang sekelip mata dalam insiden itu.

"Tak perlu berselindung, saya tahu, saya redha dan saya akan jumpa mereka semua di syurga kelak," katanya lagi.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan jenazah tiga beradik selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kuin, Kuantan, Pahang pada pagi Isnin.

Jenazah tiga beradik selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin Dua, Kuantan. - Astro AWANI
Sementara itu, satu-satunya anak Zarina yang terselamat dalam kejadian berkenaan, Nur Ain Harizah Ismail, 13, berkata beliau masih teringat permintaan kedua adik kembarnya untuk meminta durian ketika dalam perjalanan balik ke rumah.

Ketika ditemui di perkarangan hospital, Harizah atau Ain kelihatan cukup lemah dan sugul selain hanya mampu termenung mengingatkan pemergian ahli keluarganya sambil ditenangkan saudara-mara yang lain.

"Adik-adik nak makan durian, itu yang ayah tak jadi balik ke Dungun, ayah patah balik untuk pergi makan durian di Perak," katanya sambil menahan air mata.

Ain yang duduk di bahagian belakang pemandu - ayahnya Ismail Yaacub - berkata, ketika kejadian dia dikejutkan oleh para pengguna jalan raya yang lain sebelum ternampak orang ramai mengangkat jenazah adik dan kakaknya di penghadang jalan.

"Saya tak sedar apa-apa, sebaik sahaja saya buka mata saya nampak dah berdarah, kena angkat dan letak di tepi jalan, saya nak bantu, tetapi saya tak dapat berdiri," kata Ain yang mengalami kecederaan ringan di pipi, dahi serta kaki terseliuh.

"Ain dah hilang kawan nak bergaduh, selepas ini Ain dah tak boleh marah adik-adik," ujarnya sebak.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 11 pagi Ahad, mangsa yang maut adalah dua beradik kembar berlainan jantina berusia lapan tahun iaitu Muhammad Hanif dan Nur Ain Hanifah serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22.

Insiden berlaku apabila sebuah lori muatan ikan merempuh empat buah kenderaan berhampiran lampu isyarat MRSM Lenggong.