"Saya redakan walaupun berat hati," luah bapa remaja perempuan Nur Afini Roslan yang maut akibat terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di Gemas, Negri Sembilan pada pagi Selasa.

Roslan Samad, 55 tahun, berkata meskipun masih terkejut dengan tragedi malang menimpa anak keempatnya, namun beliau pasrah.

"Saya reda dengan takdir ilahi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tindakan dan siasatan lanjut," kata Roslan.

Roslan, yang juga seorang jurulatih memanah berkata, anak perempuannya itu juga aktif dalam sukan memanah dan pernah mewakili Pahang untuk acara berkenaan.

Tambahnya, mereka sekeluarga sebelum ini menetap di Kuantan, Pahang dan baharu sahaja pulang ke kampung halaman di Felda Sungai Kelamah selepas dia bersara daripada sebuah syarikat swasta.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi Selasa, arwah Nur Afini meninggal dunia di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman selepas bilah mesin yang melayang itu terkena kepalanya.

BACA: Bapa pohon orang ramai sedekahkan al-fatihah untuk arwah anaknya

BACA: Jenazah Nur Afini selamat dikebumikan


Remaja itu dikatakan sedang menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah di padang sekolah tersebut.

Insiden itu turut mencederakan dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14 tahun, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13 tahun.