Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas tuduhan membunuh dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),HAN Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu.

Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana melakukan konspirasi jenayah berkenaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Salim Soib@Hamid, manakala semua tertuduh diwakili peguambela, Hermes Media Putra Ibrahim.

Salim kemudiannya memohon kes berkenaan dipindahkan terus ke Mahkamah Tinggi bagi sebutan kes di mahkamah berkenaan.

Keempat-empat tertuduh dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi sambil dikawal ketat polis yang lengkap bersenjata dan Harun dilihat terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda berikutan mengalami angin ahmar.