Tujuh pelajar lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes rogol akan dibebaskan esok dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan tidak berhasrat melanjutkan tempoh reman yang akan tamat esok.

"Memandangkan dan mengambil kira bahawa kesemua suspek ini terlibat dengan SPM tahun ini, maka kita akan bebaskan dengan (ikat) jamin dahulu bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan.

"Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital," katanya ketika ditemui pada Program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau di sini, hari ini.

BACA: Tujuh pelajar disyaki merogol, tapi masih boleh duduki SPM, dalam lokap!

Menurutnya, pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan.

Suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Semalam, Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mistirine Radin berkata pegawainya akan berhubung dengan polis bagi membenarkan semua suspek menduduki SPM yang sedang berlangsung.

Pada Sabtu, media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman tiga hari atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

BACA: Tujuh senior tingkatan lima disyaki rogol bergilir-gilir pelajar tingkatan dua

Mengulas mengenai program anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau itu, Peter berkata ia platform sesuai bagi mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.

Katanya, masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga kepada polis dalam melakukan pencegahan jenayah di penempatan masing-masing.

Selain menghubungi balai polis terdekat, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) untuk menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital.

Seramai 600 peserta mengambil bahagian dalam acara Fun Ride serta Fun Run PDRM Tawau sempena program komuniti polising yang dilaksanakan