Seorang tukang cat rumah, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan, 31 Mei lalu.

Tertuduh, Kang Jin Khong, 63 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan, Kang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang penunggang motosikal.

Kejadian didakwa berlaku jam 9.45 malam di Jalan Raya Syed Saffi dekat Bintong, di sini.

"Kandungan alkohol di dalam badan tertuduh adalah sebanyak 146mg/100ml iaitu melebihi 80mg/100 ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 80mg/100ml.

"Justeru, tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kecederaan kepada penunggang motosikal Modenas Kriss, Bishamhadi Mohamad Hasbi, 41 tahun," menurut kertas pertuduhan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 kurungan 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM8,000 dan RM20,000 dan penjara antara tiga tahun dan 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwaan Trafik Inspektor Mohd Zulfadzli Salehen.

Tertuduh yang diwakili peguambela Praya Singh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 27 Ogos depan.

1 Jun lalu, seorang penunggang motosikal dilaporkan mengalami retak tempurung kepala dan cedera di anggota tubuh akibat dirempuh pemandu mabuk, dari arah belakang.