Tutup

Tular PRN Perak akan diadakan, tidak benar - Nga

Tular PRN Perak akan diadakan, tidak benar - Nga
Nga ketika mempengerusikan sidang DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi DUN dengan 30 daripada adalah milik Pakatan Harapan. - Gambar fail
IPOH: Berita yang tular mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP keluar parti dan menjadi Bebas adalah tidak benar.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp ketika dihubungi.
Nga yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengulas mengenai berita tular itu yang berbunyi: "Info terkini: PRN Perak akan diadakan kerana beberapa org ADUN DAP keluar parti dan menjadi ADUN Bebas. Apa-apa hal pun kita tunggu perkembangan seterusnya".

Berita tular tersebut turut disertakan dengan satu tangkap skrin sekeping surat bertarikh 23 Sept lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.
Surat yang dicop 'diterima' pada tarikh 8 Oktober 2019 oleh Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam, Sungai Sumun, Bagan Datuk menyatakan lawatan dijadual pada 1 Sept lepas hingga 30 Nov bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak Abdul Aziz Bari berkata tidak ada alasan untuk membubarkan DUN Perak pada ketika ini.

"Kerajaan Perak kini stabil pada usianya yang tidak sampai dua tahun pun. Di luar sana memang ramai nujum pak belalang.

"Sebelum ini pun saya dikatakan merancang undi tak percaya untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.

BACA: Dua ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti 

VIDEO: Aziz Bari nafi sanggup tukar 'baju' guling MB Perak

Ahli Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar itu menegaskan, hanya Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang boleh memohon pembubaran DUN, namun tertakluk kepada budi bicara Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pula berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan berikutan penularan perkara itu.

"Penafsiran terhadap surat tersebut dengan mengatakan pilihan raya negeri bakal diadakan adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dengan 30 daripada adalah milik Pakatan Harapan terdiri daripada 18 DAP, Amanah (6), PKR (4), Bersatu (2), manakala Barisan Nasional (25), PAS (3) serta Bebas (1).

-- BERNAMA