Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akur dengan perintah yang mengarahkannya untuk batalkan persidangan berkaitan isu tulisan jawi pada Sabtu.

Ahli Jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata pihaknya tiada pilihan lain melainkan untuk menurut perintah yang dikeluarkan.

“Kami telah menerima arahan daripada mahkamah. Kami tiada pilihan tetapi terpaksa membatalkan persidangan tersebut,” kata Low ketika dihubungi Astro AWANI.

Ditanya sama ada Dong Zong akan mengadakan persidangan tersebut dalam masa terdekat, Low berkata pihaknya akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat dalaman.

BACA: Kongres Dong Zong, apa yang perlu anda tahu?

Pada Jumaat, Mahkamah Kajang memerintahkan agar Dong Zong tidak meneruskan persidangan bantahan tulisan jawi yang dijadualkan pada 1 tengah hari pada Sabtu.

Sebelum ini, Dong Zong dilapor bertegas mahu menganjurkan persidangan itu di Kolej New Era meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak.