Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan yang akan berkuatkuasa pada 3 Januari 2020.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.

"Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.


Perdana Menteri turut memaklumkan Maszlee telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Khamis.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

BACA: 'Atas nasihat Ayahanda Tun M, saya letak jawatan Menteri Pendidikan' - Maszlee

"Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama," kata Maszlee.

Maszlee menjelaskan beliau membuat keputusan untuk mengosongkan jawatan berkenaan selepas mendapat nasihat daripada Dr Mahathir.

"Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya, Maslee Malik memulangkan kembali jawatan saya sebagai Menteri Pendidikan kepada perdana menteri, berkuat kuasa 3 Januari 2020," katanya.