Sebuah pusat pengajian tinggi dan pusat latihan bagi membolehkan rakyat Malaysia mempelajari sistem etika dan nilai budaya Jepun serta Korea dicadang ditubuhkan.

Saranan itu dikemukakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, dengan adanya penubuhan IPT dan pusat latihan itu ia akan memudahkan akses kepada sistem pendidikan Jepun dan Korea Selatan. Ia juga, pada masa yang sama, mampu menarik minat pelajar luar ke Malaysia.

"Saya percaya kejayaan Jepun dan Korea Selatan adalah disebabkan etika kerja yang diaplikasikan dalam semua bidang kerjaya yang mereka ceburi, dan kita perlu mencontohi nilai murni selain mampu berdaya saing di samping mempunyai semangat patriotik yang tinggi," kata Dr Mahathir ketika berucap pada jamuan makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-30 Dasar Pandang ke Timur di ibu negara malam tadi.

Turut hadir sama ialah isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shigeru Nakamura dan Duta Besar Korea Selatan Lee Yong-Joon.

Dr Mahathir turut berharap syarikat Jepun dan Korea Selatan di negara ini memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia untuk memegang jawatan tinggi dalam organisasi mereka.