Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menggesa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil tanggungjawab ke atas prestasi kewangan Proton.

Beliau berkata, Dr Mahathir perlu tampil ke hadapan dan menjawab mengapa pengeluar kereta nasional itu berada dalam masalah kewangan yang serius walaupun berbilion Ringgit telah dilaburkan ke dalam syarikat itu.

Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam satu siri twitnya pada Sabtu berkata, sejumlah RM13.9 bilion telah disalurkan kepada Proton sejak 1983.

Abdul Rahman berkata, "cerita seram" campur tangan bekas perdana menteri itu dan "gaya kepimpinan diktator" secara perlahan-lahan sedang mula diperkatakan di dalam Proton berikutan peletakan jawatannya.










Pada 31 Mac lepas, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi Proton dan Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.

Dr Mahathir berkata beliau juga telah melepaskan jawatannya sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas, berkuat kuasa 30 Mac 2016.

Pada Jumaat, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan beberapa terma untuk Proton bagi menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

Mustapa berkata kerajaan percaya bahawa model perniagaan semasa yang diguna pakai oleh Proton tidak berkekalan.

Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah; Proton mesti diuruskan secara profesional, tiada campur tangan dalam perniagaan dan langkah-langkah yang sukar tetapi perlu digunakan demi kemampanan jangka panjang.