Kehadiran Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada himpunan Bersih semalam tidak dilihat sebagai satu rampasan.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari sebaliknya memaklumkan, pihaknya menghargai kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang muncul pada kemuncak himpunan tersebut yang berlarutan sehingga jam 5 petang.

Malah kata Shahrul, meskipun padat dengan jadual Tun Mahathir masih sempat hadir memberi sokongan kepada perhimpunan berkenaan.

"Kami tidak rasa beliau (Tun M) merampas Bersih.

Kami sebenarnya tidak sangka, kerana beliau mempunyai peluang yang tipis untuk hadir kerana beliau menghadiri satu persidangan yang telah pun dirancang sejak setahun lalu di Sudan.

Tetapi beliau memendekkan persidangan dan bergegas pulang ke Malaysia supaya dapat menghadiri Bersih semalam. Kami hargai penyertaan beliau dan juga pemimpin-pemimpin lain yang datang dari pelbagai latar belakang politik serta rakyat," ujarnya dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.

BACA: Bersih 5 berlangsung aman tanpa drama

Shahrul mengulas laporan sebuah portal online yang mendakwa Tun Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin merampas perhimpunan Bersih 5 pada saat-saat akhir.

Selain kehadiran Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, turut hadir bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Lim Kit Siang.