Tiada drama!

Ini predikat yang boleh menggambarkan himpunan Bersih 5 anjuran gabungan NGO dan kumpulan masyarakat sivil, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0.

Masuk edisi kelima, himpunan mega kali ini tidak banyak berbeza dengan penganjuran yang lalu.

Bersih 5 menyaksikan individu-individu dari pelbagai lapisan masyarakat dan sosio-ekonomi berkumpul dan berarak untuk menyuarakan lima tuntutan iaitu kerajaan yang bersih, pilihanraya yang bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen dan kestabilan ekonomi di Malaysia.

Para penyokong sanggup berbelanja, menginap di hotel-hotel di sekitar ibu negara untuk bersedia bagi perarakan awal pagi yang menyaksikan ibu negara dilanda 'gelombang kuning' dengan penyertaan lebih 15,000 peserta dari kem Bersih.

Secara majoriti, para penyokong kebanyakannya pernah menyertai perhimpunan sebelum ini. Segelintir besar pula baru kali pertama menjadi peserta.

Memandangkan banyak jalan-jalan utama menghala ke Dataran Merdeka ditutup mulai jam 7 pagi Sabtu, peserta lebih senang menaiki LRT.

Kesemua lingkaran LRT di sekitar bandar raya, sesak dibanjiri ribuan peserta baju kuning yang memenuhi gerabak kereta api.

Seawal jam 7 pagi, berbondong-bondong 'askar kuning' telah mula berkumpul di jalan-jalan sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Ampang.

Mereka tidak pula berkelakuan di luar kawalan namun kadang-kadang kelihatan sesetengah terpinga-pinga menunggu arahan perarakan dari ahli-ahli jawatankuasa Bersih yang ditempatkan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya.


GALERI FOTO: Bersih 5: Suasana perhimpunan setakat jam 10 pagi

LAGI FOTO: Bersih 5: Baju Kuning, Baju Merah

Apabila ada perhimpunan, para peniaga juga ambil peluang untuk buat keuntungan. Bukan tiada permit tetapi penulis agak terhibur melihat teknik mereka melariskan barangan jualan, tidak kira di trak makanan atau gerai barangan cenderamata bercetak 'bersih' seperti topi, kemeja-t dan instrumen hon, 'vuvuzuela'.

Baju Kuning

Tanpa kehadiran Ketua Penganjur Bersih 5, Maria Chin Abdullah untuk mengetuai perarakan (baju kuning), tidak melunturkan semangat peserta untuk meneruskan aspirasi Maria dan sekutunya.

Para penyokong kelihatan bersemangat sewaktu berarak sambil melaungkan kata-kata seperti "Hidup Rakyat", "Bersih" dan "Bangkit Rakyat".

Baju Kuning

Sementara itu, peserta kumpulan Baju Merah hampir 'tidak kelihatan' dengan jumlah kehadiran yang sedikit di sekitar Dataran Merdeka, kompleks beli-belah Sogo dan Masjid Jamek.

Polis menganggarkan sejumlah 2,500 peserta Baju Merah turun padang hari ini. Mulut-mulut nakal ada berbunyi, 'respon yang agak 'hambar' ini berpunca daripada penahanan pemimpin mereka, Datuk Seri Jamal Md Yunos awal Sabtu.

Laporan daripada wartawan penyiaran dan kru Astro AWANI yang turun padang untuk membuat liputan melaporkan ada segelintir penyokong Baju Merah yang bercakaran sesama sendiri dan sekali-sekala cuba 'mengusik' peserta Baju Kuning.

Namun, tiada laporan insiden keganasan, konfrontasi atau vandalisme berlaku.

Baju Merah

Di media sosial, penyokong Bersih tidak jenuh berkongsi gambar mereka mengutip sampah yang ditinggalkan peserta perhimpunan.

Lain pula jadinya apabila sampah dibiarkan bertaburan di sekitar Padang Merbok lokasi himpunan golongan Baju Merah.


Keadaan keselamatan pula berada pada tahap terkawal, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Anggota pakaian seragam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menjalankan tugas mereka dengan tahap dedikasi dan kesabaran yang cukup tinggi sehingga meraih pujian dari pengguna media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengalungkan kata-kata pujian terhadap anak-anak buahnya yang berkhidmat cemerlang demi menjaga keselamatan orang ramai.




Sekitar jam 2.45 petang, mandat baharu diterima daripada jawatankuasa Bersih 2.0, menggesa penyokong Baju Kuning berarak ke Menara Berkembar Petronas untuk menyambut ketibaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah.



Lelah tergambar jelas pada wajah-wajah peserta Baju Kuning selepas berakhirnya ucapan pembakar semangat daripada ahli politik veteran berusia 91 tahun tersebut.

Perhimpunan Bersih 5 berakhir sebelum hujan mula membasahi bumi sekitar jam 5.30 petang.

Ada wartawan berbisik, klimaks Bersih 5 diakhiri dengan Dr Mahathir berucap dengan berlatarbelakangkan menara berkembar ikonik inspirasi beliau suatu ketika dahulu.


Umpama kata wartawan Astro AWANI, Nizam Bakeri yang turun padang untuk membuat liputan, "macam acara karpet merah di KLCC tadi selepas peserta bersurai," katanya merujuk kepada pemimpin pembangkang yang sedang 'bersidai' melepas lelah di kompleks beli-belah itu sebelum menaiki LRT ke destinasi masing-masing.

LAPOR LANGSUNG Bersih 5 di Kuala Lumpur

Selain penahanan Maria dan Ketua Sekretariat Bersih, Mandeep Singh Karpal Singh di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya, Selangor, beberapa individu lain turut ditahan pada Jumaat.

Individu-individu itu termasuk bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, aktivis Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, aktivis pelajar Anis Syafiqah Md Yusof, ahli Exco Parti Sosialis Malaysia (PSM) Arutchelvan Subramaniam, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Wong Chee Wai @ Jimmy Wong, ahli DAP Lee Khai Meng dan aktivis Muhamad Safwan Anang@Talib dan Hairol Nizam Md Nor.

Hari ini, beberapa aktivis di beberapa lokasi perhimpunan berlangsung.

Akitivis politik, Hishammuddin Rais ditahan polis di Bangsar pada kira-kira jam 10.37 pagi tadi. Ini diikuti dua lagi penahanan membabitkan ahli Exco Pemuda UMNO Armand Azha Abu Hanifah, aktivis Bersih, Howard Lee Chuan How dan pereka Grafik Politik, Fahmi Zainol.

PDRM dalam satu kenyataan Sabtu mengesahkan setakat ini, 20 laporan tangkapan telah diterima.

Beberapa jam selepas Bersih 5 tutup tirai, media sosial mulai 'bingit' dengan berita penahanan dua pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dilaporkan ditahan di kediamannya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah pada malam Sabtu.

BACA: Bersih 5: Tian Chua ditahan polis

BACA: 15 ditahan susulan Bersih 5

BACA: Bersih 5: Armand, Howard Lee ditahan polis

BACA: Bersih 5: Jamal Yunos dan dua pengikutnya direman empat hari



* Rencana rumusan ini ditulis hasil maklumat kolektif berdasarkan pemerhatian peribadi sekumpulan krew dan wartawan Astro AWANI yang ditempatkan di lokasi-lokasi berbeza, sepanjang berlangsungnya perhimpunan Bersih 5 pada 19 November 2016.