Ular yang ditemui di tingkat 14 dan hampir membelit leher seorang gadis di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran dipercayai milik salah seorang penghuni di perumahan itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang berkata, beliau tidak menolak kemungkinan haiwan itu kepunyaan penghuni di perumahan itu berdasarkan maklumat awal yang diterima.

Bagaimanapun pihaknya belum dapat membuat sebarang pengesahan memandangkan belum ada bukti kukuh terhadap spekulasi itu.

“Sebelum ini khabar angin mengatakan tingkat 17 ada bela (ular), jadi sekarang kita menyiasat sama ada betul atau tidak ular tersebut memang menjadi ternakan.

“Jadi kita tak boleh memberi kesahihan (khabar angin) tersebut, setelah kita siasat baru kita boleh tahu,” katanya kepada pemberita.

BACA: Ular seberat 26 kilo naik tingkat 14 PPR, ganggu tidur gadis

Zabri berkata, pihak pengurusan memandang serius perkara itu kerana ia mengancam nyawa penduduk di kawasan perumahan tersebut.

Beliau berharap pihak berkuasa khasnya jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera bagi menghilangkan kebimbangan penduduk agar kejadian semalam tidak berulang.

“Memang kita kesal… kita sebagai penduduk kita takut sebenarnya apabila kita lihat ular masuk tingkat 14. Semua penghuni sini takut, saya sendiri pun setiap malam tutup tingkap.

“Sekarang kita siasat ular datang dari mana sama ada dari tingkap bilik air, saluran paip air atau saluran najis,” katanya lagi.

Zabri juga menasihati 1200 penghuni di kawasan tersebut yang memelihara haiwan yang tidak dibenarkan, agar menyerahkan kepada pihak Perhilitan kerana ia salah di sisi undang-undang.

Pada Rabu, seorang gadis berdepan detik ngeri selepas nyaris dibelit ular sawa kira-kira 26 kilogram.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa Nur Alia Aqilla Jamaluddin, 18 tahun sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik sebelum menyedari tetamu tidak diundang itu merayap dan melingkar di lehernya.