Usaha gigih masih diteruskan hari ini oleh pasukan penyelamat bagi mencari mangsa yang dilaporkan hilang di kawasan Gunung Kinabalu, susulan gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah pada Jumaat lepas.

Kedua-dua mangsa ialah dua warga Singapura - seorang guru dan seorang pelajar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata pihaknya menyenaraikan dua masih hilang kerana tidak dapat membuat pengecaman positif tentang identiti mereka disebabkan keadaan mayat.

Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini menemui lima mayat lagi di kawasan pergunungan itu menjadikan jumlah mangsa yang terkorban setakat ini adalah 18 orang iaitu 16 daripada mereka ditemui mati iaitu enam dari Malaysia, Singapura (tujuh), Filipina (satu), China (satu), Jepun (satu).

Gempa Sabah: "Saya jalan dululah," kata-kata terakhir Valerian

Gempa Ranau: 'Inilah pahlawan sejati'

Gempa Ranau: Kenangan Robbi diabadikan dalam dokumentari 'Dusty's Trail: Summit of Borneo'

Polis bagaimanapun belum mengeluarkan nama identiti mayat lain yang ditemui kecuali mayat malim gunung rakyat tempatan Robbi Sapinggi, 30, dan seorang pelajar dari Singapura yang dibawa turun dari kawasan pergunungan pada hari pertama kejadian.

Operasi SAR bermula esok akan dikecilkan tetapi akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui akibat gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi turut memantau perkembangan insiden itu.

Najib, dalam catatan terbaharu di Facebooknya berkata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, kini berada di Sabah untuk memantau situasi dan mengurus tadbir operasi di negeri itu.

Najib berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah akan memantau, menyediakan laporan dan mengambil tindakan segera untuk memastikan kerosakan infrastruktur akibat gempa itu dibaiki segera.

Sementara itu Muhyiddin ketika melawat dua sekolah di Ranau dan Masjid Daerah Ranau yang rosak hari ini turut mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Sejumlah RM5,000 daripada bantuan wang ehsan itu diperuntukkan kepada warganegara Malaysia sahaja adalah sumbangan kerajaan persekutuan manakala RM5,000 lagi daripada kerajaan negeri Sabah.

Perdana Menteri ketika bercakap kepada pemberita di Jeddah bekata beliau juga mengutus surat ucapan takziah kepada rakan sejawatannya Lee Hsien Loong berhubung kematian rakyat republik itu dalam tragedi gempa bumi itu.

Gempa Sabah: Mayat mangsa warga Singapura dituntut keluarga

Gempa Sabah: 7 perkara yang anda perlu tahu mengenai kejadian gempa bumi di Ranau

Di SINGAPURA, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengisytiharkan hari ini sebagai Hari Perkabungan Kebangsaan bagi mangsa warga Singapura.

Kerajaan negeri Sabah juga mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung untuk memperingati mangsa yang terkorban.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu turut disusuli gegaran kecil yang dirasai di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud selepas gegaran pertama pada 7.15 pagi.