Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan agar usaha untuk menjejak dan mengembalikan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dari pelbagai negara diteruskan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa berkata, Muhyiddin pada Selasa telah diberi taklimat khas oleh pasukan petugas yang dipertanggungjawabkan untuk menjejak dana 1MDB di luar negara.

Menerusi taklimat itu, Muhyiddin dimaklumkan bahawa sejumlah RM1.4 bilion dana telah berjaya dikembalikan hasil usaha pasukan petugas berkenaan, manakala sebanyak RM6.9 bilion lagi telah dikenal pasti.

“Pasukan ini terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF),” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, pasukan petugas memberikan perincian tindakan yang telah dilaksanakan untuk membawa pulang dana 1MDB yang disyaki disalahgunakan di 17 buah negara.

BACA: Goldman Sachs mengaku tidak bersalah tuduhan terbitan bon 1MDB RM27.2 bilion

BACA: Junta Thai dituduh lindungi salah laku 1MDB