Tutup

Usaha jadikan masyarakat tanpa tunai tidak akan hentikan jenayah

Usaha jadikan masyarakat tanpa tunai tidak akan hentikan jenayah
Dengan adanya masyarakat tanpa tunai ini, masalah jenayah baharu dipercayai akan mula timbul. - Gambar hiasan
SEBARANG cadangan untuk menjadikan masyarakat negara kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris “Cashless Society” tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah jenayah yang melibatkan penggunaan wang seperti pengubahan wang haram, penyelewengan, rasuah dan lain-lain kerana penjenayah akan terus mencari jalan untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

Malah dengan dengan adanya masyarakat tanpa tunai ini, masalah jenayah baharu dipercayai akan mula timbul serta membawa masalah barhau kepada masyarakat kita.
Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas pada masa kini telah banyak mengubah gaya kehidupan seharian masyarakat kita.

Peranti canggih tersebut telah mula mempengaruhi cara kehidupan seharian kita pada masa ini dan perubahan ini termasuklah perubahan terhadap cara kita berkomunikasi, menerima dan menyebarkan maklumat, berhibur, melakukan kerja serta cara kita membelanjakan wang.
Perubahan ini bukan sahaja melanda masyarakat kita, hampir semua masyarakat dunia mula mengunakan serta bergantung penuh pada aplikasi moden ini.

Terdapat juga segelintir negara khususnya di benua Eropah yang kini sedang berjinak-jinak untuk kurang bergantung pada pengunaan mata wang tunai seperti wang kertas dan syiling yang telah digunakan sebagai matawang semenjak beratus tahun lamanya dan beralih kepada satu sistem baharu yang lebih canggih tanpa memerlukan transaksi wang tunai.

Terdapat banyak kelebihan dan kekurangan dalam menjadikan masyarakat tanpa tunai.

Kewujudan dan penggunaan wang tunai dilihat mempunyai kos pengurusan yang tinggi.

Sebagai contoh, ia perlu dikira dan disimpan oleh peniaga dan selepas itu perlu dipindahkan ke dalam akaun bank.

Ia juga terdedah kepada beberapa risiko seperti kecurian, rompakan, salahguna, penyelewengan serta rasuah.

Penggunaan konsep “cashless” iaitu transaksi tanpa melibatkan wang tunai pula menjadikan operasi perniagaan lebih mudah diurus di samping menjimatkan masa dan kos serta dipercayai selamat untuk dikendalikan.

Oleh sebab itu, transaksi secara kad debit, perbankan mudah alih menggunakan telefon pintar, perkhidmatan seperti Touch ‘n Go dan seumpamanya menjadi keutamaan ramai pihak pada masa kini.

Namun, kita juga harus ketahui, dengan menjadikan masyarakat tanpa tunai tidak bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah khsusnya yang melibatkan pengunaan wang.

Penjenayah akan cuba sedaya upaya mereka untuk melakukan kegiatan jenayah sama ada kita menggunakan wang tunai ataupun menggunakan sebarang transaksi yang tidak melibatkan penggunaan wang tunai.

Malah adalah lebih dibimbangi lagi, dengan menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat tanpa tunai ini akan lebih mendedahkan masyarakat kita kepada pelbagai jenis jenayah baharu yang melibatkan penggunaan teknologi moden.

Penggunaan transaksi elektronik juga tidak terlindung daripada masalahnya yang tersendiri kerana ia juga boleh terdedah dengan pelbagai jenis risiko seperti yang melibatkan proses penggodaman, penipuan, penyamaran, penyalahgunaan maklumat dan lain-lain lagi.

Ramai pihak telah menjadi mangsa terhadap penipuan melalui penggunaan transaksi moden ini.

Pada awal bulan Oktober 2018 yang lalu kita telah didedahkan dengan statistik 8,313 kes penipuan siber yang membabitkan wang berjumlah kira-kira RM300 juta yang direkodkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Januari hingga 3 Oktober tahun yang lalu.

Jenayah siber ini termasuk penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

Selain daripada risiko berlakunya kegiatan jenayah melalui transaksi elektronik, kebergantungan terhadap transaksi elektronik akan mengundang masalah lain kepada masyarakat kita seperti masalah boros berbelanja, masalah hutang yang tidak dibayar serta terdedah terhadap bayaran-bayaran sampingan seperti caj atau cukai perkhidmatan yang perlu dibayar sekiranya kita menggunakan transaksi elektronik.

Tambahan pula tidak semua tempat dalam negara kita disediakan dengan kemudahan transaksi secara elektronik, ini secara tidak langsung akan memberi beban tambahan kepada pihak pengguna untuk melakukan aktiviti harian mereka bagi membeli sesuatu barangan atau menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Oleh yang demikian, penggunaan sistem wang secara konvensional seperti wang tunai dilihat masih diperlukan dalam negara kita untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak untuk melakukan urusan harian mereka.

Sebelum menjadikan masyarakat negara kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai adalah penting supaya masyakarat negara kita dilatih, dididik dan diberi kesedaran yang mencukupi terlebih dahulu mengenai risiko-risiko yang boleh berlaku sekiranya mereka tidak berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap kemudahan transaksi kewangan yang bakal diberikan kepada mereka.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan pula perlu memastikan peruntukan undang-undang dalam negara kita benar-benar mencukupi dan betul-betul berkesan dalam mengatasi segala masalah jenayah yang melibatkan penggunaan transaksi tanpa tunai sebelum kita ingin menjadikan masyarakat kita sebagai sebuah masyarakat tanpa tunai.


* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.



 



Tag: masyarakat, tanpa tunai, cashless society, wang, jenayah, telefon pintar, gaya hidup, peranti



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.