SUSULAN isu wang sumbangan buat dua anak mangsa nahas Lebuhraya Duta- Ulu Kelang (DUKE), pihak Mufti Wilayah Persekutuan tampil membuat kenyataan menjelaskan kekeliruan.

Ini kerana, sebelum ini ibu saudara dua kanak-kanak itu, Yusnidah Hussain dilaporkan berkata daripada sumbangan berjumlah RM300,000 yang diterima daripada orang ramai, hanya RM12,000 diterima anak-anak mangsa.

Dalam satu sidang media, Yusnidah mendakwa, kesemua wang dimasukkan ke akaun dua adiknya, dan mereka menggunakan nama Mufti Wilayah Persekutuan untuk tidak menyerahkan wang itu kepada Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqilah, 5.

Dalam penjelasan melalui Facebook rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri memberitahu, bapa saudara dan ibu saudara mangsa hanya pemegang amanah atau Mutawalli, dimana wang tersebut perlu diuruskan mengikut keperluan kedua-dua anak yatim itu dengan jujur dan bertanggungjawab.


Turut ditekankan adalah kesemua wang itu bukan milik pemegang amanah, dan mereka tidak boleh menggunakannya sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk tujuan peribadi.

Menjawab dakwaan kakaknya, Faizznur Hussain, yang merupakan pemegang amanah untuk dua anak saudaranya itu, menafikan hal tersebut melalui satu kenyataan di Facebook.

Menyifatkan perkara itu sebagai satu fitnah, Faizznur berharap dia dan keluarga diberi ruang untuk membela diri di muka pengadilan.

.Kenyataan balas Faizznur di Facebook.

Mei tahun lalu, ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu, Fairuz Nizam, 35, dan Nova Safitri Azhari, 25, maut dalam kemalangan di KM 6.2 Lebuhraya DUKE.

Turut maut adalah anak bongsu pasangan itu, Nur Firuza Annisa.

Kemalangan itu mencetuskan kemarahan orang ramai apatah lagi ia didakwa berlaku kerana kecuaian pemandu lain.