Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di Gua Musang, Kelantan sejak empat hari lalu ditemui lemas di Sungai Lebir, hari ini.

Mayat Idris Che Din, 81, dijumpai terapung di kawasan di sebuah jeram sungai itu kira-kira jam 12 tengah hari oleh penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencarinya menggunakan bot sejak awal pagi Selasa.

Anaknya, Siti Zulaiha, 25 tahun berkata, sebelum itu sekumpulan penduduk kampung telah menjumpai kain pelikat bersama selipar yang ditingggalkan arwah bapanya di tengah jalan menghala ke sungai terbabit pada pukul 10 pagi.

BACA: Keluarga rayu bantu jejaki Idris Che Din

Katanya, penduduk mengesyaki warga emas itu ke Sungai Lebir yang terletak hampir satu jam perjalanan dari rumahnya sebelum menjejak ke kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat warga emas itu di sungai berkenaan.

Katanya, jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir.

Sebelum ini, sebuah keluarga dari RKT Kesedar Lebir memohon pertolongan orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang berusia 81 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah sejak petang Sabtu lalu.

Bapanya, yang mengalami masalah nyanyuk kali terakhir dilihat oleh penduduk di sekitar kampung itu pada jam 3 petang.

Susulan itu, ahli keluarga bersama polis dan orang kampung telah melancarkan gerakan untuk mencari mangsa.