Warga kota yang ingin pulang ke kampung bersempena sambutan Aidilfitri masih berpeluang membeli tiket bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagi perjalanan 1 hingga 5 Julai ini.

Pengurus Kanan Operasi TBS Faizal Redza Redzuan berkata daripada sasaran jumlah 80,000 tiket yang disediakan untuk tempoh berkenaan, masih terdapat kekosongan tempat duduk terutama bagi destinasi utara dan selatan.

"Masih ada kira-kira 30 peratus tempat duduk untuk destinasi ke utara dan selatan manakala untuk ke Pahang dan Terengganu pula kira-kira 10 peratus masih kosong.

"Hanya tiket ke Kelantan sudah habis dijual sepenuhnya termasuk tiket bas tambahan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Faizal Redza berkata antara destinasi Pantai Timur yang masih mempunyai kekosongan termasuk Kuantan, Muadzam Shah, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Katanya, TBS menyediakan sehingga 500 bas dengan jumlah mencecah 1,000 perjalanan bas ke seluruh Semenanjung setiap hari dalam tempoh itu.

Pihaknya juga akan cuba menyediakan bas tambahan bagi memenuhi permintaan namun jumlahnya bergantung kepada kemampuan pengusaha bas, katanya.

Faizal Redza bagaimanapun menasihati agar mereka yang masih belum mendapatkan tiket agar segera berbuat demikian dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir.

"Bukan rakyat tempatan yang ingin pulang beraya sahaja ingin membeli tiket, malah warga asing juga turut mengambil peluang untuk pergi bercuti," katanya.