Waytha seru rakyat Malaysia bersatu, ambil iktibar kejadian di Christchurch

Waytha seru rakyat Malaysia bersatu, ambil iktibar kejadian di Christchurch
WAYTHA: Tragedi Christchurch menunjukkan bagaimana kebencian seorang individu merosakkan kesejahteraan dan kehidupan rakyat sebuah negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy menyeru rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang sengaja menyebarkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan rakyat negara ini perlu mengambil iktibar daripada kejadian serangan pengganas di masjid di New Zealand, baru-baru ini.

Pada 15 Mac lalu, berlaku kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch, mengakibatkan 50 mangsa terkorban termasuk seorang rakyat Malaysia, dan berpuluh lagi cedera.

“Sebagai sebuah negara yang aman damai selama 62 tahun, kita rakyat Malaysia telah hidup bersatu padu dan aman damai sekian lama.
"Janganlah kita ikut apa-apa perasaan kebencian yang ditimbulkan oleh sesiapa yang lain.

“Apa yang penting adalah kita mengekalkan keharmonian, perpaduan dan hormat-menghormati yang telah wujud sekian lama,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini.


BACA: Perhimpunan Solidariti Kedamaian bukan sekadar respons tragedi Christchurch

Waytha turut menzahirkan rasa bangga terhadap sikap bersatu-padu dan kesungguhan rakyat Malaysia yang datang dari seluruh negara untuk berhimpun hari ini sebagai menunjukkan solidariti.

Beliau mengakhiri ucapan dengan mengulangi pendiriannya supaya rakyat Malaysia saling memahami dan berkongsi kasih-sayang tanpa mengira agama dan kaum.

BACA: Himpunan Solidariti: Wakil agama sampai mesej senada, tolak kebencian, semai kedamaian

Hari ini, Perhimpunan Solidariti Kedamaian diadakan susulan tragedi serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, di mana peserta berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo dan berarak ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation.