Wisma Yakin bakal terima nasib seperti Ampang Park?

Wisma Yakin bakal terima nasib seperti Ampang Park?
MAIDEEN: Kita minta semua yang berkenaan tolong jaga hak Melayu di Wisma Yakin, kita ada nilai di sini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas Ampang Park, bangunan Wisma Yakin di Jalan Masjid India berkemungkinan dirobohkan dan peniaga Melayu di lokasi itu juga dikatakan akan dipindahkan ke tempat lain dalam satu tempoh masa yang bakal ditentukan pihak berkuasa.

Pengerusi Persatuan Peniaga Wisma Yakin, Datuk Maideen Kadir Shah berkata, mercu tanda perniagaan Melayu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur itu dikatakan kini semakin lesu dan menanti rebah apabila semakin tenggelam daripada mendapat perhatian pengunjung.

"Wisma Yakin masih belum tahu apa masa depannya, belum nampak tanda apa akan jadi kerana kononnya ada masalah untuk pihak berkenaan pindahkan penjaja.

"Kami difahamkan, selagi tidak dapat tempat baru untuk peniaga ini, selagi itu tidak akan dirobohkan, pihak berkenaan sedang mencari-cari di mana hendak dipindahkan peniaga itu.

"Ada perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberitahu mereka hendak buat sesuatu di kawasan ini, ada usaha hendak pindahkan peniaga dan pembangunan baharu di kawasan ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Maideen berkata demikian ketika ditanya nasib masa depan Wisma Yakin selepas pusat membeli belah tertua di ibu kota akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park.

Ampang Park ditutup sepenuhnya pada 31 Disember 2017.

BACA: Peniaga Wisma Yakin sanggup berhabis RM100,000 demi selamat perniagaan
BACA: Peniaga bazar Melayu moden mohon DBKL timbang lokasi penempatan semula

Wisma Yakin merupakan penempatan awal peniaga-peniaga Melayu selepas peniaga tepi jalan yang bertapak sejak 1953 di 'Malay Bazar' diangkat atas dasar ekonomi baharu dan diberi pemilikan di situ.

Bagaimanapun pada 2004, DBKL membangunkan bazar moden di hadapan laluan masuk ke Wisma Yakin, atas persetujuan bersama berdasarkan beberapa kaedah yang dijanjikan.

Dalam pada itu, perbincangan pihak peniaga dengan DBKL sebelum ini, berkisar tentang membangunkan lokasi baharu bagi penjaja sedia ada di Wisma Yakin.

"Mereka (DBKL) kata hendak bina tapak baharu, di mana? Saya pun tidak tahu.

"Kita tengoklah apa cerita mereka, tentu ada pertemuan seterusnya selepas ini," ujar Maideen.


Bangunan Wisma Yakin berkemungkinan dirobohkan dan peniaga Melayu di lokasi itu juga dikatakan akan dipindahkan ke tempat lain. - Gambar fail

Jelasnya dalam nada sayu, banyak manipulasi dibuat tentang pembangunan yang dilakukan atas nama kemajuan, namun sebenarnya ia akhirnya 'membunuh' Wisma Yakin.

"Ini lambang kehadiran Melayu di Kuala Lumpur, sepatutnya Wisma Yakin yang kini sudah masuk pemilikan generasi ketiga, kekal selama-lamanya.

"Kita ada dengar mahu dibina hotel di sini tetapi jangan 'halau' peniaga ini, letakkan balik peniaga itu selepas hotel itu siap nanti.

"Tetapi, kalau rasa tidak sesuai untuk buat pembangunan (hotel), kita mahu bincang. Apa salahnya bertemu dan berbincang?" soalnya.

Dalam pada itu ketika ditanya status tapak Wisma Yakin yang berada di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), ini kata Maideen.

"PKNS sekarang sudah di bawah kerajaan pembangkang, nampaknya makin payah isu ini hendak selesai.

"Kawasan luar, DBKL hendak bangunkan, Wisma Yakin pula, dalam hal ehwal PKNS, apa yang mereka (PKNS) tahu hanya menaikkan sewa sahaja."

Katanya lagi, keadaan infrastruktur di bangunan itu semakin hari semakin teruk dan tidak terjaga.

"Kita minta semua yang berkenaan tolong jaga hak Melayu di sini, kita ada nilai di sini. Namun sehingga sekarang belum nampak perubahan untuk Wisma Yakin.

"Tetapi, kalau diikut perancangan, satu hari nanti bangunan ini memang akan diruntuhkan juga," ujarnya.

Penasihat Persatuan Peniaga Wisma Yakin, Datuk Aznil Nawawi sebelum ini dilaporkan berkata, peniaga di Wisma Yakin sudah memohon kerajaan membantu memulihkan mercu tanda perniagaan Melayu itu yang kian ‘lumpuh’.

Tegasnya, entah di mana silapnya, peniaga yang merupakan pemilik premis terbabit tidak dapat berniaga ekoran bangunan 11 tingkat itu seperti ‘hilang’ daripada pandangan orang ramai.