Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menyambung semula keterangan saksi ke 13 berhubung polisi insurans kenderaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya.

Ketika membaca keterangan bertulis dihadapan Hakim Collin Lawrence, saksi Fang Suat Lim yang juga Pengurus Cawangan Allianz General Insurance mendedahkan maklumat 39 polisi insurans Allianz General bagi sembilan motorsikal dan 11 kenderaan yang dimiliki tertuduh dan keluarganya bernilai RM72,209.57 setahun.

Antara kenderaannya, Honda Odyssey, Chrysler Wrangler, Toyota Vellfire, Audi Q7 4.2, BMW C600 Sport, Harley Davidson FLHRC Road King, Ducati dan Kawasaki KLX250-V.

Berdasarkan keterangan saksi, polisi kereta persendirian dan polisi Enhanced Road Warrior Policy mempunyai penama Ahmad Zahid, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, serta anak-anak mereka Nurulizwani Ahmad Zahid, Nurulhidayah Ahmad Zahid, dan Ahmad Syafiq Hazieq Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid dikatakan telah membuat pembayaran menerusi Syarikat Maya Consultant Services dan penama Ahmad Izhan Abd Rashid bagi kesemua polisi insurans terbabit.

Fang turut mengesahkan pembayaran dibuat menerusi tiga bank berlainan itu Public Bank Berhad, Public Bank Islamic dan Maybank Berhad diantara Januari, September dan November sepanjang 2015.

Selesai memberi keterangan, Fang dilepaskan tanpa dibebaskan sebagai saksi.

Mahkamah ditangguhkan sehingga Isnin depan bagi menyambung perbicaraan.

Ahmad Zahid menghadapi 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

BACA: Saya beri Ahmad Zahid RM2 juta - Pengarah syarikat