Tutup

Zakir Naik, Pengerusi Dong Zong, Yew Yin akan dipanggil polis

Zakir Naik, Pengerusi Dong Zong, Yew Yin akan dipanggil polis
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, PDRM sedang menyiasat tiga kes yang sedang hangat diperkatakan di negara ini.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semula pendakwah Dr. Zakir Naik untuk diambil keterangan berhubung beberapa kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, keterangan yang diambil pada Jumaat lalu bermula 3.30 petang sehingga 7 malam dihentikan kerana penceramah itu meminta supaya ditangguhkan supaya beliau dapat berbuka puasa.

“Ketika diambil keterangan, beliau (Zakir) diiringi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader dan proses tersebut akan disambung semula pada 19 Ogos ini, pukul 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.


Mengulas lanjut, Huzir berkata, pihaknya menerima laporan pada 12 Ogos lalu mengenai satu video ceramah yang disampaikan Zakir menyatakan penganut agama Hindu di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi.

“Pada 14 Ogos pula, PDRM telah menerima laporan mengenai satu berita yang ditulis portal berita tempatan MalaysiaKini mengenai kenyataan Zakir meminta kaum Cina keluar dari negara ini,” jelas beliau.
Zakir mendakwa beberapa kenyataannya telah diputar-belitkan oleh pihak tertentu.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pendakwah tersebut.


Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Huzir berkata, polis juga sedang melakukan siasatan terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

Huzir berkata, laporan polis telah dibuat terhadap dakwaan Dong Zong mengenai pengenalan Jawi di sekolah vernakular merupakan satu bentuk Islamisasi.
“Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim akan disoal siasat tidak lama lagi,” ujarnya.

Zakir dan Dong Zong disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam masa sama, Huzir berkata, PDRM juga akan memanggil taikun pengasas Gamuda Bhd Khoo Yew Yin mengenai kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

“Polis menerima laporan pada 14 Ogos lalu terhadap Khoo yang didakwa menghina ATM, sehubungan itu beliau akan dipanggil pada 19 Ogos ini di Ipoh, Perak,” jelas beliau.

Sebelum ini, Khoo telah mengkritik tentera dengan menyatakan ramai anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur, namun memohon maaf setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Khon pula disiasat di bawah Seksyen 505(C) akta sama kerana cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Khon turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana salah guna kemudahan rangkaian yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

BACA: Pergaulan anak Cina dengan kaum lain seperti 'anathema' untuk Dong Zong - Tun Mahathir

Tag: Polis Diraja Malaysia, Dr Zakir Naik, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed, penceramah, video ceramah, Tun Dr Mahathir Mohamad, Narendra Modi, Cina, kaum, Dong Zong, Khoo Yew Yin, Angkatan Tentera Malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.