Zaman BN noda institusi kehakiman berakhir - Khairuddin

Zaman BN noda institusi kehakiman berakhir - Khairuddin
KHAIRUDDIN: Semua institusi-institusi kerajaan berada di bawah cengkaman pemimpin-pemimpin korup UMNO pada zaman mereka berkuasa. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu sedar, zaman menyalahguna kuasa dan menodai semua institusi kerajaan terutama isu kehakiman sudah berakhir.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, ia sekali gus noktah untuk UMNO serta BN memperalatkan institusi-institusi kerajaan demi melindungi semua kesalahan mereka.

"Mereka juga kalangan yang tidak menghormati undang-undang pada zaman pemerintahan kerajaan kleptokrasi dahulu.

"Malahan, pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib Razak telah campur tangan serta memperalatkan bidang kehakiman mahupun pihak penguatkuasa undang-undang untuk melindungi segala kemungkaran mereka.

"Semua institusi-institusi kerajaan berada di bawah cengkaman pemimpin-pemimpin korup UMNO pada zaman mereka berkuasa. Kini, zaman BN noda institusi kehakiman berakhir," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
BACA: Nama calon Ketua Hakim Negara yang baharu sudah diserah kepada Agong - Tun M

BACA: 
Tempoh percubaan pesuruhjaya kehakiman maksimum dua tahun - Ketua Hakim Negara

Pada Isnin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di dalam sebuah portal berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mesti berhenti mengeluarkan kenyataan yang membingungkan orang ramai mengenai peranan Raja-Raja seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Asyraf berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), pihak eksekutif tidak lagi campur tangan dalam bidang kehakiman ataupun badan-badan yang bersangkutan dengan penguatkuasaan undang-undang.

"Asyraf harus cermin muka dia terlebih dahulu. Di zaman pemerintahan Najib, dia juga bersikap dayus dan hanya menurut apa sahaja tindakan salah guna kuasa Najib.

"Saya ingin nasihatkan Asyraf agar 'jangan mengajar itik berenang. Dia adalah personaliti yang cakap tidak serupa bikin. Lebih tepat dia adalah 'pot tin' kosong sahaja," katanya.

Khairuddin juga mahu Majlis Raja-Raja Melayu peka dah sedar tentang kepentingan untuk menyetujui perlantikan jawatan Ketua Hakim Negara secepat yang mungkin atas cadangan nama dari pihak kerajaan.

"Jawatan Ketua Hakim Negara telah kosong dari 12 April 2019. Pengosongan ini harus diisi semula secara pantas kerana jawatan ini amat penting bagi menerajui bidang kehakiman negara," jelasnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan, kerajaan masih menunggu kelulusan daripada Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Beliau berkata terdapat peruntukan dalam soal pelantikan Ketua Hakim Negara di mana kerajaan mesti mengemukakan cadangan nama calon kepada Persidangan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bersara baru-baru ini setelah berkhidmat selama 27 tahun dalam perkhidmatan kehakiman.

Malanjum, adalah yang pertama dari Sabah memegang jawatan tertinggi kehakiman itu dan telah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama sembilan bulan, dan 12 tahun sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Tag: Najib Razak, Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan, Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, kerajaan, Melayu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.