Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan tindakan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata tindakan Kamilia menyebabkan beliau secara automatik dipecat daripada UMNO.

“Saya agak kecewa kerana beliau Naib Ketua Wanita UMNO, jawatan kedua tertinggi dalam Wanita UMNO melakukan perkara bertentangan dengan peraturan, semangat perjuangan dan prinsip parti.”

“Kalau berlaku hal begini dia secara automatik dipecat daripada parti sesuatu yang bagi saya amat mengecewakan, tetapi kita hendak menunjukkan parti bertindak tegas tidak mahu ada pembelot apatah lagi ketika berhadapan dengan pilihan raya yang penting,” tegas Muhyiddin.

Muhyiddin ditemui selepas proses penamaan calon PRU-13 bagi kerusi Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini, hari ini.

Kamilia dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau bagaimanapun menyatakan beliau telah meletakkan semua jawatan daripada parti.

Kenyataan Kamilia Ibrahim mengenai kedudukannya dalam UMNO selepas disahkan bertanding PRU-13 sebagai calon bebas

Sementara itu, di MANJONG, wartawan NABIHAH HAMID melaporkan, Menteri Besar Datuk Seri Zambry Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak kecewa dengan tindakan Naib Ketua Wanita UMNO itu yang memilih jadi calon bebas.

Beliau bagaimanapun menyerahkan nasib Kamilia kepada pucuk pimpinan parti untuk tindakan lanjut.

'Kita tak boleh halang beliau. Beliau (kini) berhadapan dengan segala kemungkinan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan parti," katanya kepada wartawan semasa ditemui di pusat penamaan calon bagi kawasan Parlimen Lumut.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak turut kecewa dengan tindakan Kamalia yang disifat tidak berprinsip.

Muhyiddin semalam berkata, mana-mana ahli parti komponen BN yang bertanding atas tiket bebas pada PRU-13 akan digugurkan keahlian parti sepanjang hayat atau dipecat secara automatik.

Kamilia sebelum ini merungut kerana tiada calon kanan daripada sayap Pergerakan Wanita UMNO yang dikemukakan sebagai calon oleh BN dalam pilihan raya umum ini.

Najib yang juga Presiden UMNO kemudian menjelaskan bahawa Kamilia ditawarkan bertanding kerusi DUN Bukit Chandan dan dijanjikan jawatan exco jika BN mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan negeri, tetapi beliau menolak.

Sehubungan itu, kata Najib tidak timbul sama sekali soal beliau tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.

"Itu merupakan keputusan yang beliau telah buat dan tidak ada timbul sama sekali Naib Ketua Wanita (Umno) tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN. Beliau hendak (bertanding kerusi) Parlimen tetapi kita fikir, lebih sesuai Datuk Kamilia bertanding DUN dan (menjadi) Exco," kata Najib.

Sementara itu, Ketua Wanita Barisan Nasional merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia Dato Sri Shahrizat Abdul Jalil juga menyatakan rasa teramat kesal dan kecewa di atas tindakan Kamilia bertanding di atas tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar.